Saturday, October 25, 2008

Analisis Gambar Bulan Syawwal 1429

Gambar bulan yang sempat diambil sepanjang syawwal



Saiz relatif bulan diukur menggunakan satu program komputer.

Keputusan pengukuran kemudian diplot dan dipadankan dengan formula polynomial. Didapati bulan purnama berlaku pada antara 15 dan 16 oktober. Jika kita dapat extrapolasi bermakna 1 syawwal ialah antara 1 dan 2 oktober di Malaysia dan mungkin 1 oktober di Mekah.

Jika kita kadar pembesaran/pengecilan bulan secara linear seperti rajah di atas. Kita akan dapati 16 Oktober ialah bulan purnama iaitu bersamaan 15 syawal.

Alangkah baiknya jika masaalah penentuan tarikh hijrah ini dibuat kajian secara mendalam dan dimaklumkan kepada orang ramai agar segala kekeliruan dan tanda tanya dapat diselesaikan melalui kajian ilmiah. Mekah boleh dijadikan rujukan bagi kalendar Hijrah sebagaimana London (Greenwich) dijadikan rujukan masa dunia. Saya berpendapat ianya baik untuk penyatuan seluruh umat Islam dunia dalam penentuan tarikh mula puasa dan hari raya. Wallahua'lam.

Wednesday, October 1, 2008

Hari Raya Aidilfitri - 1 Syawal 1429

Di Malaysia kita merayakan aidilfitri pada 1 Oktober 2008 setelah genap 30 hari berpuasa ramadan.
Kita disunatkan takbir selepas maghrib 30 ramadan hinggalah solat sunat aidilfitri pada 1 syawal. Berlainan dengan hari raya aidiladha, takbir bermula selepas solat aidiladha hingga hari tasyrik (iaitu sebelum maghrib hari terakhir melontar jamrah).

Monday, September 29, 2008

Anak Bulan (Hilal)

29 September ialah tarikh melihat anak bulan bagi Malaysia. Bagaimanapun Hari Raya ditentukan pada 1 Oktober bermakna genap 30 hari kita berpuasa. Manakala Brunei akan melihatnya besuk pada petang 30 September (http://www.brunei-online.com/mp/rabu/sep24t3.htm). Brunei mula berpuasa 2 September. Begitu juga dengan Amerika Utara (http://www.hilal-sighting.com/)

Mengikut bacaan GPS Garmin 60CSx aku di Bandar Baru Bangi, hari ini bulan jatuh lebih dulu di ufuk barat pada jam 7:01 ptg berbanding matahari yang jatuh 7:06 ptg sama seperti perkiraan ISNA (Persatuan Islam Amerika Utara) di atas. Keadaan ini tentunya menyukarkan kita untuk melihat anak bulan. Lagiupun petang ini, cuaca mendung berawan tebal, matahari pun tak nampak.Pandangan pada petang 29/9/08 di ufuk barat dari puncak bukit Mutiara Bangi menunjukkan awan yang tebal pekat.

Petang 30/9/08 sekali lagi membuat cerapan semasa matahari hampir terbenam. Hari ini matahari jatuh 7:06 ptg dan bulan 7:43 ptg (lihat gambar). Bagaimanapun awan tebal diufuk barat tidak memungkin kita untuk melihat anak bulan. Betullah seperti kata Dr. Huda (guruku seorang pakar hadis) kebangkalian untuk melihat anak bulan di Malaysia ialah 1/10 sahaja.


1 Oktober - Matahari jatuh 7:05 ptg dan bulan jatuh 8:27 mlm.

Monday, September 22, 2008

Lailatul Qadar

Setelah membuat pencarian internet, antara laman yang menerangkan malam qadar ialah;
http://mufti.perak.gov.my/artikel/LAILATUL%20QADAR.pdf

Nas al-qur'an ialah surah al-qadar. Nas al-hadis pun ada. Bagaimanapun kumpulan anti-hadis menafikan malam qadar (http://www.e-bacaan.com/artikel_lailatulqadar.htm). Mereka hanya mengatakan malam qadar itu hanya sekali berlaku iaitu sewaktu al-qur'an diturunkan. Mereka menafikan semua hadis termasuklah hadis sahih Bukhari dan Muslim. Agak sedih mereka ini nampak kehilangan punca. Perbincangan dalam forum tentang ibadat puasa (bulan ramadan ditafsirkan bulan panas, dll) nampak tergantung dan tiada kesimpulan atau ketentuan yang pasti. Tiada arah yang jelas, entah macam mana mereka berpuasa dan solat jika mereka tidak mempercayai hadis.

Kebanyakan ulamak berpendapat malam qadar terjadi pada malam ganjil 10 malam terakhir. Manakala pendapat Imam Ghazali pula ia berlaku berdasarkan hari permulaan puasa. Tahun ini kita mula puasa pada hari Isnin, malam qadar mengikut firasat beliau ialah malam ke 21.

Pemerhatian yang telah dibuat pada sekitar 4:30 pagi pada malam ganjil;
Malam ke 21 - langit berawan dengan bulan sabit (yang kemudiannya dilindungi awan) dan sebutir planet (bintang Polaris kot) kelihatan di langit. Polaris ialah bintang paling terang dan digunakan sebagai panduan arah bagi pengembara atau pelayar zaman dulu. Bintang-bintang tidak kelihatan. Pada pagi 21 ramadan, matahari juga tidak kelihatan sehinggalah tengahari. Cuaca tidak panas dan sedikit 'humid'.
Pandangan pintu masuk masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi. Ramai juga yang beriktikaf dan mendirikan malam (qiamullail).

Malam ke 23 - langit terang dengan bulan sabit dan bintang-bintang kelihatan.

Nikon 70-300mm, f/5.6, 15s, ISO 400. Dedahan lama menampakkan bintang tapi membesarkan bulan (bulan sabit nampak seolah-olah bulan purnama.

Malam ke 25 - langit terang dengan bulan sabit dan bintang-bintang kelihatan.
Nikon 70-300mm, f/5.6, 1/6s, ISO 400. Tiga bintang tersusun selari (Nikon 70-300mm, f/5.6, 1s, ISO 400).

Malam ke 27 - langit terang dengan bintang-bintang kelihatan. cuaca sejuk dan nyaman kerana petang 26 ramadan hujan renyai + lebat hingga ke malam. Bulan sabit tidak dapat dilihat lagi.

Malam ke 29 - langit terang dengan bintang-bintang kelihatan.

Wallahu a'lam.

Monday, September 1, 2008

Ramadhan Karim

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur (Al- Baqarah 2:185).
Hari ini merupakan permulaan puasa (1 ramadhan) bagi rakyat Malaysia. Rasanya lebih 40X ramadhan aku bepuasa. Aku tak ingat bila aku mula berpuasa, tapi aku telah diajar dan dilatih berpuasa ramadhan dari umur 5 atau 6 tahun. Ketika itu masa puasalah berpeluang makan makanan lazat-lazat, kuih muih dan nasi berlaukkan daging. Jika di bulan lain, kami hanya mampu makan nasi lauk ikan, ikan masin atau telur itik goreng atau gulai telur. Diet masa kecik memang tidak menggemukkan dan sehat: pagi sarapan pisang rebus/nasi kerabu, laksam, tengahari nasi lauk telur berulam timun, tembikai, malam pula ikan masin, ikan rebus, singgam ikan. Tidak banyak minyak digunakan.
Sebenarnya puasa ramadhan tidaklah berat yang disangkakan. Syaitan dibelenggu memudahkan kita membuat amal ibadah.
Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 1793
Terasa lebih rajin beribadah jika dibanding dengan bulan lain. Seperti maksud ayat di atas Allah menghendaki kemudahan bagi bagi kita. Konsep mudah ni eluk dipegang dalam segala tingkah laku dan perbuatan kita. Bukan ajaran Islam jika sesuatu itu susah untuk dilaksanakan.


Hadis di atas boleh juga ditafsir secara kinayah (perumpamaan), syaitan dibelenggu membawa maksud syaitan telah dikalahkan. Manusia mengonggkong kehendak syaitan dengan membuat lebih banyak ibadat dan muhasabah diri. Dalam hadis lain kita juga pernah dengar Nabi saw pernah menasihatkan anak muda yang belum dapat kahwin agar berpuasa bagi mengekang hawa nafsunya. Ini bermakna puasa dapat menjinak dan melembut jiwa.

Tuesday, August 5, 2008

Haji

Sejak beberapa mingu lepas kumpulan usrah kami (Dr. Huda, Zainal, Islah, Mustafa, Shukri, Pauzi dan Omar) telah membaca bab Haji dari kitab Kifaayatul akhyar iaitu kitab ulama pengikut mazhab Syafie. Aku belum berkesempatan untuk menulis semula. Bagaimanapun beberapa perkara penting yang aku pelajari antaranya ialah tentang Arafah. Berada seketika di Arafah adalah rukun Haji. Haji tidak sah tanpa Arafah seumpama rakaat solat tidak dikira tanpa rukuk.
Selain itu tawaf. Tawaf 7 pusingan seumpama solat (walaupun semasa tawaf boleh bercakap) perlu suci dan berwudhu. Jika terbatal wudhu maka batallah tawaf. Tawaf boleh disambung bakinya - tapi ada juga pendapat (tak kuat) perlu diulang dari mula. Ketika memasuki masjidil haram, tawaf di baitullah lebih utama dari solat sunat tahiyatul masjid. Tawaf dimulakan dari hajarul aswad (disunatkan kedudukan hajarul aswad berada di sebelah kanan dan mula berniat) dan mengelilingi kaabah ikut lawan jam iaitu kaabah berada di sebelah kiri. Membelakangi kaabah membatalkan tawaf. Tawaf juga tidak dikira jika melalui dalam hijir Ismail atau dalam kaabah.

Sunday, July 27, 2008

At-Taghaabun

13] Allah, tiada Tuhan melainkan Dia dan dengan yang demikian, kepada Allah jualah orang-orang yang beriman wajib berserah diri.
[14] Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[15] Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.
[16] Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya) dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
Ulasan berdasarkan pengalaman
Isteri, anak dan harta merupakan ujian Allah kepada suami (ketua keluarga). Isteri boleh jadi 'queen control', boleh menyebabkan lelaki abaikan ibubapanya, boleh juga menyebabkan lelaki putus silaturrahim dengan saudara dan jiran tetangga. Begitu juga anak-anak, anak boleh menjadi seperti 'anakku Sazali', penagih dadah, sampah masyarakat dan sebagainya jika tidak dididek dengan sebaiknya. Harta dan pangkat pula boleh menyebabkan kita lupa daratan, tamak, matlamat menghalalkan cara dll. Jadi perlulah sentiasa berhati-hati dengan segala ujian Allah taala.