Saturday, May 31, 2008

Tok Janggut

Sajak tulisan Rahimidin Zahari

Kuharung sungai
Kususur bukit tujuh gua yang silam
Aku murba perkasa
Kau tuduh penderhaka celaka?

Aku tak pandai berselindung
dengan kepang dan senandung
Suaraku tak mungkin semerdu seruling

Aku tak rela tanah darahku diinjak dijajah
Aku tak rela hasil bumiku dicantas dipulas
Aku tak rela bangsaku dipandirkadukkan
Aku tak rela islam agamaku disendatemehkan

Tok janggut haji mat hasan namaku
Tujuh lapis langit terpikul di bahu
Tujuh lapis bumi tercengkam di kaki

Aku pulang dari tanah makkah yang putih dan suci
Ingin ku lihat tanah darahku tanpa dijajah
Kubaca jamaluddin al afghani
Kuhafal reformis Muhammad abduh
Dan kugenggam ideology rasyid redha

Tok janggut haji mat hasan namaku
Anak kelantan kelahiran pasir putih
Kampung saring mahupun jeram
adalah padang permainanku
adalah gelanggang silat
tempat kau memperlimaukan diri

Aku pulang siap sedia sebagai lelaki anak jantan perkasa
Aku siap sedia menitiskan darah ke ranting cempaka
Ini tanah darahku tak kurela kau kikis habis

Kuoleng mangkuk mimpi para tirani
Inilah nafasku
Angin bergegas menyebarkan tandus
Dan nah!
Darah matahariku akan terpercik
Ke tanah pasir putih
Rintih angin taufan sedialah kau akanku amuk
Kugetus jantung hatiku

Laporan Kematian Tok Janggut dan rakan-rakannya (sumber Prof Nik Anuar, UKM)Skrip arkib negara dalam tulisan jawi melayu klasik. Aku cuba terjemahkan .... bermakna tak dapat difahami
.............yang terbit dari hati yang hening lagi jernih iaitu daripada beta tuan deled......... Inggeris kepada kerajaan kelantan apalah jua kiranya barang disampaikan oleh tuhan seru sekelian alam kehadapan memuji........ sahabat beta sultan Muhammad yang ke 4 KC MG yang dipertuan negeri Kelantan kerana dengan segala ta’aluk rantau jajahan yang ada bersama pada pagi ini di atas tempat kerajaan didalam Bandar kota baharu dengan beberapa kemulian dan sejahteranya.
Walhal maka adalah beta ....... kepada seri paduka....... beta pada malam semalam lebih kurang pukul 3 dinihari telah datang rakyat rakyat yang menderhaka ke pasir putih dan telah mencuba hendak melangk dengan ........ senapang tetapi pada pagi itu beta serta dengan yang berhurmat tuan Maxwell dan lain2 tuan bersama dengan askar 2 sikh telah menunduk mereka itu .

Apabila sampai ke Kampung Merbol beta telah dapati ada orang berhimpun di dalam sebuah rumah yang dipunyai oleh khatib Abu Bakar dan askar sikh telah mencuba hendak menangkap tetapi tuan rumah itu telah menetak kepada seorang askar itu dengan parang dan askar itu telah membalas tikam dengan lembing yang dihujung senapang dan Abu Bakar itu pun mati. Di situ juga kemudian beta serta sekelian berjalan pula menuju ke kampong pupuh apabila sampai sahaja di tepi baruh kampong merbol itu orang-orang derhaka itupun telah memulai menyerang beta serta sekalian askar2 sikh dengan menembak dari di dalam kampung pupuh itu. Askar2 itu telah membalas tembak di dalam sedikit pagi sahaja orang2 derhaka itu telah undur dan lari.

Beta kemudian pun masuklah di dalam kampung pupuh itudan beta dapati Tok Janggut itu telah mati tertembak oleh sebutir peluru sahaja dan 2 orang penjahat tetapi tidak ada orang yang boleh mengenal tubuh2 itu dan seorang lelaki bernama Deraman bin Mat Deris Kampung Telosan telah beroleh luka parah dan juga seoarng lelaki telah beroleh luka parah tetapi pada fikiran beta telah dilarikan oleh seorang kawan, beta dapati ada banyak darah sepanjang2 jalan kemudian daripada itu beta serta sekalian telah menurut orang2 derhaka ke tempat 2 yang lain tetapi tidak bertemu dan pada fikiran beta orang derhaka itu telah berpecah2 dan lari meneuju hala ke kampung kemunir? Dan beta...... menurut lagi pada mereka2 itu apabila beta dapat perkhabaran kedudukan mereka itu.

Syahadan lagi beta ....... yang beta telah membakar rumah Pak Nik Abas oleh kerana halaman rumah itu telah...... itu tebunuh

Bersama2 ini risalah ini beta hantarkan tubuh Tok Janggut ini kepada seri paduka pejabat beta supaya boleh dimasyhurkan kematian Tok Janggut itu di dalam bandar Kota Baharu.

Pada pagi menulis beta dan yang berhurmat tuan maxwell ada di dalam sehat dan afiat diharapkan seri paduka sahabat beta terlebih lagi tiada hanyalah diberikan dengan tabik dan hurmat jua daripada beta dan yang berhurmat tuan maxwell serta seri paduka sahabat beta 1915


Nota: Abu Bakar ialah tok aku sebelah bapa. Aku bangga aku dilahirkan dari keturunan pejuang. Semuga ianya juga memberi semangat kepada anak-anak cucuku untuk terus berjuang menegakkan agama Allah.