Wednesday, January 13, 2010

Hubungan sembahyang dengan pentadbiran/pemerintahan negara

Firman Allah yang bermaksud "Dan hendaklah engkau menghukum di kalangan mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah, dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah bahawa mereka memesongkan engkau daripada sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu" (al-Maidah, ayat 49)

"Maka janganlah kamu takut kepada manusia dan hendaklah kamu takut kepada Aku, dan janganlah kamu menjual ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka adalah orang yang kafir" (al-Maidah, 44)

"Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka adalah orang yang fasik" (al-Maidah, 47).

Pemerintah selain dari berkewajipan menghukum dengan apa yang diturunkan Allah swt, mereka juga hendaklah adil.

"Bahawasanya Allah menyuruh kamu untuk menunaikan amanah kepada yang ampunya, dan apabila kamu menghukum di antara manusia hendaklah kamu menghukum dengan adil" (an-Nisa, 58)

Tuesday, January 5, 2010

Hubungan sembahyang dengan kemajuan

Nas untuk mencari kemajuan di atas muka bumi ini termasuklah;

"Dan apabila telah ditunaikan sembahyang maka hendaklah kamu berhamburan di atas muka bumi dan carilah limpah kurniaan Allah, dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu berjaya" (surah al-Jumaah, 62:10).

Limpah kurniaan Allah amat luas - bidang pertanian, perniagaan, perindustrian dll. Kemajuan akan tercapai jika orang mukmin mempunyai ilmu dan bersungguh-sungguh dalam bidang yang diceburinya. Kita disuruh berusaha dan diberi pahala atas usaha kita itu.

Daripada al-Miqdam r.a. daripada Nabi saw sabdanya: "Makanan yang paling baik bagi seseorang ialah dia memakan dari usaha tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud, baginda makan dari usaha tangannya" (sahih Bukhari).

Sabda Nabi saw lagi yang bermaksud: "Setiap orang mukmin yang mencucuk tanaman atau menanam tanaman lalu dimakan oleh burung, manusia atau binatang itu adalah merupakan sedekah dari orang itu" (sahih Bukhari). Sedekah menunjukkan pahala bagi orang itu.


Hadis Nabi saw yang bermaksud: "Jika berlaku hari Kiamat kepada seseorang dari kamu sedangkan pada tangannya terdapat benih maka dia hendaklah menanamnya" (musnad Ahmad, musnad Anas bin Malik).

Firman Allah yang bermaksud: "Dan buatlah persediaan dari segi kekuatan untuk menentang mereka mengikut semampu kamu....." (surah al-Anfal, 8:60). Tujuan membangun kekuatan ialah bagi menakutkan musuh.

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan jikalau ahli kariah itu beriman dan bertakwa nescaya Kami buka kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan maka Kami binasakan mereka dengan sebab apa yang mereka lakukan" (surah al-A'raf, 7:96).

Islam menyuruh kita membangunkan ekonomi dan pertahanan, larangan membuang masa dan suruhan bekerja dengan bersungguh. Keberkatan dari langit dan bumi menunjukkan kepada kemewahan dan kesenangan hidup yang juga menunjukkan kemajuan.

Pertalian antara sembahyang dengan kemajuan amat rapat kerana semua perkara ini adalah suruhan syara'. Oleh kerana itu seorang yang mendirikan sembahyang janganlah pula dia cuai di dalam pekerjaannya, malas, tidak bersungguh-sungguh, tidak mahu membangunkan ekonomi, tidak mahu membangunkan pertahanan negara dan lain-lain yang berkaitan dengan kehidupan. Pembangunan ini hendaklah mengikut batas-batas syara'.