Monday, September 29, 2008

Anak Bulan (Hilal)

29 September ialah tarikh melihat anak bulan bagi Malaysia. Bagaimanapun Hari Raya ditentukan pada 1 Oktober bermakna genap 30 hari kita berpuasa. Manakala Brunei akan melihatnya besuk pada petang 30 September (http://www.brunei-online.com/mp/rabu/sep24t3.htm). Brunei mula berpuasa 2 September. Begitu juga dengan Amerika Utara (http://www.hilal-sighting.com/)

Mengikut bacaan GPS Garmin 60CSx aku di Bandar Baru Bangi, hari ini bulan jatuh lebih dulu di ufuk barat pada jam 7:01 ptg berbanding matahari yang jatuh 7:06 ptg sama seperti perkiraan ISNA (Persatuan Islam Amerika Utara) di atas. Keadaan ini tentunya menyukarkan kita untuk melihat anak bulan. Lagiupun petang ini, cuaca mendung berawan tebal, matahari pun tak nampak.Pandangan pada petang 29/9/08 di ufuk barat dari puncak bukit Mutiara Bangi menunjukkan awan yang tebal pekat.

Petang 30/9/08 sekali lagi membuat cerapan semasa matahari hampir terbenam. Hari ini matahari jatuh 7:06 ptg dan bulan 7:43 ptg (lihat gambar). Bagaimanapun awan tebal diufuk barat tidak memungkin kita untuk melihat anak bulan. Betullah seperti kata Dr. Huda (guruku seorang pakar hadis) kebangkalian untuk melihat anak bulan di Malaysia ialah 1/10 sahaja.


1 Oktober - Matahari jatuh 7:05 ptg dan bulan jatuh 8:27 mlm.

Monday, September 22, 2008

Lailatul Qadar

Setelah membuat pencarian internet, antara laman yang menerangkan malam qadar ialah;
http://mufti.perak.gov.my/artikel/LAILATUL%20QADAR.pdf

Nas al-qur'an ialah surah al-qadar. Nas al-hadis pun ada. Bagaimanapun kumpulan anti-hadis menafikan malam qadar (http://www.e-bacaan.com/artikel_lailatulqadar.htm). Mereka hanya mengatakan malam qadar itu hanya sekali berlaku iaitu sewaktu al-qur'an diturunkan. Mereka menafikan semua hadis termasuklah hadis sahih Bukhari dan Muslim. Agak sedih mereka ini nampak kehilangan punca. Perbincangan dalam forum tentang ibadat puasa (bulan ramadan ditafsirkan bulan panas, dll) nampak tergantung dan tiada kesimpulan atau ketentuan yang pasti. Tiada arah yang jelas, entah macam mana mereka berpuasa dan solat jika mereka tidak mempercayai hadis.

Kebanyakan ulamak berpendapat malam qadar terjadi pada malam ganjil 10 malam terakhir. Manakala pendapat Imam Ghazali pula ia berlaku berdasarkan hari permulaan puasa. Tahun ini kita mula puasa pada hari Isnin, malam qadar mengikut firasat beliau ialah malam ke 21.

Pemerhatian yang telah dibuat pada sekitar 4:30 pagi pada malam ganjil;
Malam ke 21 - langit berawan dengan bulan sabit (yang kemudiannya dilindungi awan) dan sebutir planet (bintang Polaris kot) kelihatan di langit. Polaris ialah bintang paling terang dan digunakan sebagai panduan arah bagi pengembara atau pelayar zaman dulu. Bintang-bintang tidak kelihatan. Pada pagi 21 ramadan, matahari juga tidak kelihatan sehinggalah tengahari. Cuaca tidak panas dan sedikit 'humid'.
Pandangan pintu masuk masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi. Ramai juga yang beriktikaf dan mendirikan malam (qiamullail).

Malam ke 23 - langit terang dengan bulan sabit dan bintang-bintang kelihatan.

Nikon 70-300mm, f/5.6, 15s, ISO 400. Dedahan lama menampakkan bintang tapi membesarkan bulan (bulan sabit nampak seolah-olah bulan purnama.

Malam ke 25 - langit terang dengan bulan sabit dan bintang-bintang kelihatan.
Nikon 70-300mm, f/5.6, 1/6s, ISO 400. Tiga bintang tersusun selari (Nikon 70-300mm, f/5.6, 1s, ISO 400).

Malam ke 27 - langit terang dengan bintang-bintang kelihatan. cuaca sejuk dan nyaman kerana petang 26 ramadan hujan renyai + lebat hingga ke malam. Bulan sabit tidak dapat dilihat lagi.

Malam ke 29 - langit terang dengan bintang-bintang kelihatan.

Wallahu a'lam.

Monday, September 1, 2008

Ramadhan Karim

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur (Al- Baqarah 2:185).
Hari ini merupakan permulaan puasa (1 ramadhan) bagi rakyat Malaysia. Rasanya lebih 40X ramadhan aku bepuasa. Aku tak ingat bila aku mula berpuasa, tapi aku telah diajar dan dilatih berpuasa ramadhan dari umur 5 atau 6 tahun. Ketika itu masa puasalah berpeluang makan makanan lazat-lazat, kuih muih dan nasi berlaukkan daging. Jika di bulan lain, kami hanya mampu makan nasi lauk ikan, ikan masin atau telur itik goreng atau gulai telur. Diet masa kecik memang tidak menggemukkan dan sehat: pagi sarapan pisang rebus/nasi kerabu, laksam, tengahari nasi lauk telur berulam timun, tembikai, malam pula ikan masin, ikan rebus, singgam ikan. Tidak banyak minyak digunakan.
Sebenarnya puasa ramadhan tidaklah berat yang disangkakan. Syaitan dibelenggu memudahkan kita membuat amal ibadah.
Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 1793
Terasa lebih rajin beribadah jika dibanding dengan bulan lain. Seperti maksud ayat di atas Allah menghendaki kemudahan bagi bagi kita. Konsep mudah ni eluk dipegang dalam segala tingkah laku dan perbuatan kita. Bukan ajaran Islam jika sesuatu itu susah untuk dilaksanakan.


Hadis di atas boleh juga ditafsir secara kinayah (perumpamaan), syaitan dibelenggu membawa maksud syaitan telah dikalahkan. Manusia mengonggkong kehendak syaitan dengan membuat lebih banyak ibadat dan muhasabah diri. Dalam hadis lain kita juga pernah dengar Nabi saw pernah menasihatkan anak muda yang belum dapat kahwin agar berpuasa bagi mengekang hawa nafsunya. Ini bermakna puasa dapat menjinak dan melembut jiwa.