Monday, January 7, 2008

Awrah Wanita

Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam dan selawat dan salam ke atas junjungan besar sayyidina Muhammad, keluarganya dan semua sahabatnya.

Memakai tudung bagi wanita

Oleh

Prof. Madya Dr. Udah bin Mohsin
Jabatan Usuludin, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Maksud wanita di sini ialah wanita merdeka iaitu wanita Islam zaman kini, bukan hamba. Firman Allah Ta’ala yang bemaksud;

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada wanita-wanita Islam hendaklah mereka merendahkan pandangan mereka dan memelihara faraj mereka, dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan mereka kecuali apa yang nampak darinya. Dan hendaklah mereka menutup dengan kain tudung mereka ke atas tempat yang terdedah dari bahagian atas dada mereka. Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka……. (Surah al-Nur, 24:31).

FirmanNya lagi yang bemaksud;

Wahai Nabi katakanlah kepada isterimu, anak-anak perempuan kamu dan wanita-wanita Islam, mereka menyelubungkan melalui pakaian luar mereka ke atas diri mereka. Yang demikian itu adalah lebih hampir mereka dikenali lalu mereka tidak diganggu. (al-Ahzab, 33:59).

Penjelasan mengenai ayat pertama firman Allah,

‘janganlah mereka menzahirkan perhiasan mereka kecuali apa yang nampak darinya”.

Yang dimaksudkan dengan perhiasan (zinah) di sini ialah sesuatu yang dijadikan perhiasan seperti pakaian, cincin, gelang, celak, inai, kalung, anting-anting dll. (al-Qurtubi 1967, 12:229, al-Zuhayli 1991, 18:216, Ibnu Kathir t.t. 6:47).

Yang dimaksud dengan,

kecuali apa yang nampak darinya

Saya mentarjihkan maksudnya ialah muka, dua tapak tangan (kaffayn)dan cincin. Ini ialah yang dinukilkan daripada Ibnu ‘Abbas. Dengan ini menurut al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan salah satu dari dua pendapat al–Syafi’i, muka dan dua tapak tangan bukan ‘awrah. Manakala menurut Imam Ahmad dan al-Syafi’i dalam yang lebih sahih dari dua pendapatnya, semua badan adalah ‘awrah.

Maksud tapak tangan ialah dari hujung jari hingga ke pergelangan tangan, belakang dan hadapan.

Saya mentarjihkan bahawa yang dikecualikan ialah muka dan dua tapak tangan ialah kerana hadith Rasulullah saw yang bermaksud,

Daripada ‘Aisyah (ra) bahawasanya Asma’ binti Abu Bakar masuk menemui Rasulullah saw dia memakai pakaian nipis lalu Baginda berpaling darinya, lalu baginda bersabda: Wahai Asma’ bahawasanya seorang perempuan itu apabila telah baligh tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini, Baginda menunjukkan kepada muka dan tapak tangan baginda (Abu Daud di dalam Abadi 1969, 11:161).

Disamping hadis di atas, terdapat juga hadis-hadis lain yang akan disebut kemudian.

Ayat al-Qur’an di atas bermaksud kaum wanita di hadapan lelaki ajnabi tidak boleh menzahirkan anggotanya kecuali pada tempat-tempat yang di atas tadi.

Penjelasan bagi
Dan hendaklah mereka menutup dengan kain tudung mereka ke atas tempat yang terdedah dari bahagian atas dada mereka.

Lam pada wal yadribn adalah lam al-amr. Lam al-amr adalah menunjukkan pada wajib.

Khumur ialah jama’ khimar. Dalam kamus Lisan al-‘Arab iaitu sebuah kamus bahasa Arab yang termasyhur juga yang lain, ada menyebut makna khimar; bermaksud sesuatu yang digunakan oleh perempuan menutup kepalanya (Ibnu Manzur t.t. 5:342, al-Raghi al-Asfahani 1961, 159, Ibrahim Anis t.t. 255).

Juyub ialah jama’ jayb, bermaksud leher baju iaitu lubang yang terdapat di atas baju darinya terdedah sebahagian badan (al_Alusi, t.t. 18:142, al-Zuhayli, 18:218, Tantawi 1985, 18:62). Contohnya sperti anggota bahagian atas dada, tempat kalung, tengkuk dan telinga.

Jayb adalah dari jawb bererti al-qat’ iaitu potong, dari fi’l jaba yajubu (al-Qurtubi 1967, 12: al-Razi t.t. 116). Bagi baju, ialah potongan bahagian atas baju iaitu leher baju yang luas mengikut fesyen pakaian yang dipotong mendedahkan bahagian atas dada, tempat letak kalung atau mendedahkan bahagian-bahagian lain.

Dengan demikian, maksud ayat di atas ialah wajib ke atas kaum wanita menutup dengan kain tudung kepala mereka ke bahagian atas dada mereka, yang menjadikan bahagian atas dada atau bahagian- bahagian lain yang terletak di bahagian atas baju mereka tertutup. Adapun bahagian badan mereka sememangnya telah tertutup dengan baju.

Sebab turun ayat ini kerana pada ketika itu kaum wanita apabila mereka menutup kepala dengan tudung kepala, terdedah bahagian atas dada, tengkuk dan telinga, maka Allah turunkan ayat ini (al-Qurtubi 1967, 12:230, Ibn Kathir tt. 6:48, al-Alusi, al-Zamakhshari 1354h, 3:72).

Dari ayat di atas difahami seluruh kepala wanita termasuk muka dan badan mereka wajib ditutup sebagaimana difahami sebahagian ulama’ yang mengatakan seluruh badan perempuan adalah awrah.

Ayat kedua, penjelasan kepada firman Allah Ta’ala yang bermaksud,

mereka menyelubungkan melalui pakaian luar mereka ke atas diri mereka. Yang demikian itu adalah lebih hampir mereka dikenali lalu mereka tidak diganggu

Yudnina dari adna yudni, thulathi mujarradnya dana yadnu, maknanya qaruba iaitu hampir. (Ibn al-Manzur t.t. 18:297, al-Razi t.t. 212, al-Fayruzabadi 1952, 330) kerana ia mengandungi makna al-sadl dan irkha’ maka ia muta’addi dengan ‘ala (Tantawi 1985, 21:115) bermaksud menyelubungkan.

Jalabib adalah jama’ jilbab. Jilbab sebagaimana yang disebut dalam Lisan al-‘Arab dan lainnya bermaksud sesuatu yang digunakan oleh wanita untuk menutup pakaiannya dari bahagian atasnya seperti kain selimut atau selindang besar (al-Fayruzabadi 1952, 1:49, Ibn al-Manzur t.t. 1:265) Lihat juga (Tantawi 1985, 21:115, Abu al-Su’ud t.t. 4:219).

Dengan demikian, maksud ayat di atas ialah kaum wanita hendaklah menyelubungkan dengan pakaian luar ke badan mereka. Yang demikian itu lebih mudah mereka dikenali lalu mereka tidak diganggu.

Oleh yang demikian berpandukan pada ayat ini jika dikatakan matlamat dari berpakaian ialah untuk tidak diganggu adalah tidak betul, kerana jilbab adalah merupakan pakaian luar yang di dalamnya ada pakaian lain (al-‘Arabi/al-Ahram, al-‘adad 343).

Maksud ayat tersebut ialah supaya kaum wanita benar-benar dapat menutup badan mereka dari hujung kepala hingga ke kaki (Tantawi 1985, 21:115).

Apabila dilihat kepada ayat yang pertama, suruhan menutup dengan kain tudung kepala ke bahagian atas baju yang terdedah, seperti atas dada dan tengkuk, maka dikuatkan lagi dengan ayat kedua yang menyuruh supaya menutup badan wanita dengan satu lagi pakaian luar, ini menunjukkan, kaum wanita itu hendaklah benar-benar menutup ‘awrah, bermula dari atas kepala mereka.

Tujuan berpakaian sebenarnya antara lain ialah menutup ‘awrah. Ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Wahai anak Adam Kami telah telah menurunkan kepada kamu pakaian yang menutup ‘awrahmu, juga pakaian indah…. (al-A’raf, 7:26).

Al-Riysh adalah pakaian perhiasan diisti’arahkan dari riysh al-tyr (bulu burung) kerana ia merupakan pakaian dan perhiasannya (al_Zamakhshari 1354h, 2:58, al-Fakhr al-Razi 1981, 14:55).

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah menurunkan pakaian sama ada pakaian biasa atau pakaian perhiasan adalah untuk menutup ‘awrah iaitu saw’ah. Maksud saw’ah di sini ialah ‘awrah kerana makna ‘awrah ialah: setiap yang menjadi malu apabila terdedah (Ibn al-Manzur t.t. 6:295). Termasuk ‘awrah itu ialah dua kemaluan. Oleh kerana itu ayat ini menjadi dalil kepada kewajipan menutup ‘awrah. (al-Qurtubi 1967, 7:182, Ibn Kathir t.t. 3:395, al-Fakhra al-Razi 1981, 14:54, al-Zuhayli 8:171). Bagi memahami ayat ini hendaklah dilihat nas-nas lain yang berkaitan termasuk dua ayat al-Qur’an yang saya sebutkan di atas tadi, kerana ayat al-Qur’an antara satu dengan yang lain adalah jelas menjelaskan. Kita tidak boleh melihat satu ayat sahaja.

Dari dua ayat yang telah dipaparkan di atas menunjukkan bahawa muka wanita juga termasuk pada anggota yang wajib ditutup. Dari sebahagian hadith-hadith juga ada menunjukkan tentang penutupan muka wanita di zaman Rasulullah saw. Antara hadith-hadithnya ialah;

1- Hadith berkenaan walimah Rasulullah (saw) dengan Safiyyah binti Huyaiy. Di dalam hadith ini ada menyebut tentang perkataan orang ramai. Maksud hadith;
Jika Baginda memakaikannya hijab, dia dari kalangan ummahat al-Mu’minin, sebaliknya jika tidak memakaikannya hijab dia adalah dari hambanya. Apabila baginda menaiki kenderaan, baginda meletakkannya di belakang baginda dan baginda meletakkan hijab di antaranya dengan orang-orang Islam (al-Bukhari dalam Ibn Hajar t.t., 9:126, Muslim 1955, 2:1046).

Maksud hijab di sini ialah menutup muka. Tujuannya untuk membezakan di antara perempuan hamba dengan perempuan merdeka.

Dalam setengah riwayat (maksudnya): baginda meletakkan selendangnya di atas belakang Safittah dan mukanya.

2- Mengenai hadith al-ifk ‘Aisyah ada menyebut: Masudnya;
Sedang aku duduk di tempat persinggahanku akupun mengantuk dan tidur, seorang bernama Safwn bin al-Mu’attal al-Sulami berada di belakang tentera, maka dia pun menghampiri dengan tepat di mana aku berada, dia melihat manusia sedang tertidur, dia mengenali aku kerana dia telah melihat aku sebelum turun ayat hijab, aku pun terjaga mendengar suara ucapannya, maka aku menutup mukaku dengan jilbabku (al-Bukhari di dalam Ibn Hajar, t.t. 7:433).

Muka merupakan ‘awrah bagi wanita adalah merupakan pendapat sebahagian ulama sebagaimana telah dinyatakan sebelum ini. Walaubagaimanapun saya mentarjihkan bahawa muka bukan ‘awrah. Ini ialah kerana terdapat hadith- hadith yang menunjukkan bahawa terdapat di zaman Rasulullah (saw), sahabat dari kalangan kaum wanita yang menampakkan muka mereka.

Antara hadithnya ialah (maksudnya);

Daripada Jabir bin Abdullah katanya: Aku menyaksikan sembahyang…maka bangun seorang wanita dari pertengahan majlis mereka, yang kedua pipinya hitam kemerah-merahan lalu berkata kenapa wahai Rasulullah!.... (Muslim 1955, 2:603-604, al-Nasa’I t.t. 3:186-187, Ahmad bin Hambal 1978, 3:319, al-Darimi 1966, 1:316).

kedua pipinya hitam kemerah-merahan Pipi ini tidak akan diketahui warnanya jika perempuan itu menutup mukanya. Oleh itu dari hadith ini menunjukkan bahawa perempuan itu mendedahkan mukanya. Dengan ini menunjukkan muka itu bukan ‘awrah.

Hadith yang lain ialah (maksdunya);

Daripada Ibn ‘Abbas: Bahawa seorang wanita Khath’am berkata: Wahai Rasulullah, bahawasanya perintah Allah (‘a.w.j.) mengenai haji ke atas hamba-hambaNya…..lalu al-Fadl menoleh kepada wanita tersebut, dia adalah wanita jelita… (al-Nasa’i t.t. 8:228-229).

Perkataan Ibnu ‘Abas: Dia adalah wanita jelita. Ini menunjukkan muka perempuan itu terbuka, tidak tertutup.

Dari ayat-ayat al-Quran yang telah dipaparkan jelas menunjukkan kewajipan bagi perempuan untuk menutup rambut kepalanya atau dengan kata lain untuk memakai tudung. Maksud wanita di sini ialah wanita merdeka seperti kaum wanita zaman ini.

2. Pandangan ulama mengenai ‘awrah wanita

Ulama-ulama terkemuka zaman dahulu:
Malikiyyah
Syafi’iyyah
Hanbaliyyah’

Malikiyyah

‘Awrah wanita merdeka di luar sembahyang

Awrah wanita merdeka bersama-sama dengan lelaki ajnabi Muslim ialah selain dari muka dan tapak tangan (Abu al-Barakat t.t. 1:214 beserta dengan Dusuqi t.t. 1:214, al-Zuhayli 1985, 1:558, Ibnu al-Rushd 1969, 1:117, al_Qarafi 1994, 2:105, al-Kushnawi t.t. 1:184). Adapun ‘awrah wanita merdeka di hadapan mahramnya ialah seluruh badannya kecuali muka dan atraf iaitu kepala, tengkuk (unuq) dua tangan dan dua kaki (al-Zuhayli 1985, 1:558, Abu al-Barakat t.t. 1:214 beserta dengan Dusuqi t.t. 1:214).

‘Awrah wanita merdeka di dalam sembahyang

‘Awrah wanita merdeka di dalam sembahyang terbagi kepada dua iaitu mughallazah dan muhaffafah. Mughallazah ialah keseluruhan badan kecuali dada dan bahagian belakang yang bersetentang, dan atrf iaitu kepala, tengkuk (al-‘unuq), dua tangan dan dua kaki (al-Zuhayli 1985, 1:586-587).

Sesiapa yang mengerjakan sembahyang terdedah ‘awrah mughallazahnya batal sembahyangnya, dan sesiapa yang mengerjakan sembahyang terdedah ‘awrah muhaffafahnya tidak batal sembahyangnya sekalipun pendedahan itu makruh dan haram dilihat kepada ‘awrah tersebut. Sunat (mustahab) bagi orang yang sembahyang yang terdedah ‘awrah muhaffafahnya dia mengulangi sembahayangnya dalam waktu daruri (al-Zuhayli 1985, 1:588). Kata Abu al-Barakat al-Dardir: wanita merdeka yang bersembahyang terdedah dada dan atrafnya hendaklah mengulangi sembahyang di dalam waktu (Abu al-Barakat al-Dardir t.t 1:214).

Dari apa yang dipaparkan dalam mazhab maliki tadi ialah ‘awrah wanita di luar sembahyang di hadapan lelaki ajnabi ialah selain muka dan dua tapak tangan. Adapun ‘awrah wanita di dalam sembahyang ada dua, mughallazah dan muhaffafah, jika terdedah ‘awrah mughallazahnya batal sembahyangnya, adapun muhaffafah jika terdedah tidak batal sembahyangnya tetapi sunat diulangi. Perbahasan ini dari segi sah atau tidak sembahyangnya bukan dari segi haram atau tidak dilihat. Dari segi dilihat lelaki ajnabi adalah haram sebagaimana yang telah dijelaskan.

Syafi’iyyah

‘Awrah wanita merdeka di luar sembahyang

‘Awrah wanita merdeka di luar sembahyang dengan lelaki ajnabi ialah seluruh badan. Adapun ‘awrah mereka dengan lelaki mahram mereka dan perempuan muslimah ialah diantara pusat dengan lutut (al-Zuhayli 1985, 1:590, al-Muti’i t.t. 15:295-297, al-Sharbini 1995, 404)

‘Awrah wanita merdeka di dalam sembahyang

‘Awrah wanita merdeka di dalam sembahyang ialah seluruh badannya kecuali muka dan dua tapak tangan. Maksud dua tapak tangan ialah dari hujung jari tangan hingga pergelangan tangan termasuk hadapan dan belakangnya (al-Zuhayli 1985, 1:590, al-Nawawi t.t. 3 :159-160, al-Shirazi t.t. 3:158)


Hanbaliyyah

Awrah wanita merdeka di luar sembahyang

‘Awrah wanita merdeka di luar sembahyang ialah seluruh badannya sama dengan pendapat syafi’iyyah (al-Zuhayli 1985, 1:594). Menurut Imam Ahmad Ibnu Hanbal: seleuruh badan wanita adalah ‘awrah (Ibnu al-Rushd 1969, 1:117).

‘Awrah wanita merdeka di dalam sembahyang

‘Awrah wanita merdeka di dalam sembahyang menurut mazhab yang rajih ialah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan (al-Zuhayli 1985, 1:593, Ibnu Qudamah t.t. 1:522)


‘Awrah perempuan hamba

Hukum perempuan hamba adalah berlainan dengan perempuan merdeka kerana perempuan boleh dijual beli, seseorang tuan lelaki boleh memiliki hambaperempuan denga tiada had bilangan, lima, enama, tujuh, lapan dan seterusnya dan tuan lelaki tersebut boleh bersetubuh dengan hamba tersebut. Oleh itu dari segi hukum ‘awrah di antara perempuan merdeka dengan perempuan hamba adalah amat berbeza. ‘Awrah perempuan hamba sama seperti lelaki, menurut mazhab Maliki (al-Qarafi 1994, 2:103, al-Kushnawi t.t. 1:183), mazhab Hanafi (Ibn “abdin 1966, 1:404, al-Zuhayli 1985, 1:584) mazhab Safi’i mengikut yang lebih sahih (asah) (al-Zuhayli 1985, 1:590) dan mazhab Hambali mengikut pendapat yang rajih (al-Zuhayli 1985, 1:93).

Disunatkan bagi perempuan hamba menutup semua badannya kecuali kepalanya. Perempuan hamba tidak dituntut menutup kepalanya untuk membezakan dengan perempuan merdeka (al-Kushnawi t.t. 1:183). Sayyidina Umar (ra) menegah hamba perempuan memakai pakaian yang menyerupai perempuan merdeka dan berkata kepada anaknya: Diberitahu kepada aku bahawa hamba perempuanmu keluar dengan memakai pakaian yang menyerupai perempuan merdeka jika aku bertemu dengannya nescaya aku akan memukulnya (al-Qarafi 1994, 2:103).

Al-Qarafi menjelaskan maksdu tegahan Umar kepada perempuan hamba supaya jangan menyerupai perempuan merdeka ialah kerana pada kebiasaannya orang-orang jahat mengganggu perempuan hamba, oleh itu jika perempuan hamab berpakaian menyerupai perempuan merdeka maka perempuan merdeka juga akan diganggu. Ini kerosakkannya adalah lebih besar. Suruhan Allah supaya perempuan merdeka menyeleubungkan pakaian luarnya ke atas pakaiannya – sebagaimana saya nyatakan sebelum ini- adalah bertujuan untuk membezakan antara perempuan merdeka dengan perempuan hamba (al_Qarafi 1994, 2:103, al-Kushnawi t.t. 1:184).

Kita jangan sekali-kali memahamkan perkataan Umar ini bahawa perempuan merdeka boleh mendedahkan rambutnya. Sikap Sayyidina Umar mengenai ‘awrah wanita merdeka adalah lebih tegas berbanding dengan sahabat lain. Bukan kah Sayyidina Umar mencadangkan kepada Nabi saw sebelum turun ayat hijab supaya diadakan hijab? Dengan katanya (dalam B. Arab tak diterjemah) (al-Bukhari didalam Ibnu Hajar t.t. 8:527). Antara yang terkandung di dalam ayata hijab itu ialah firman Allah (dalam B. Arab – surah al-Ahzab 33:53). Jika dilihat kepada ayat yang sebelumnya menunjukkan maksud hijab disini ialah sekatan, yang membawa maksud terus tidak namapak muka, hanay dengar suara sahaja.

Dalam Sahih al-Bukhari jelas menunjukkan bahawa al-hijab di sini adalah sekatan (al-satr). Kata Anas: (dlm B. Arab) (al-Bukhari didalam Ibnu Hajar t.t.8:428).

Pendapat ulama-ulama terkemuka kini

Kata Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Shikh al-Azhar bermaksud: Bahawa hijab (termasuk memakai tudung kepala) adalah kewajipan Islam. Apabila seseorang wanita itu tidak mengerjakannya dia dihisab oleh Allah. Tidak boleh bagi seseoarng Muslim sama ada pemerintah atau yang diperintah menyalahinya (…..aljazeera.net/news/arabic/2003/12/12-30-15.htm)

Maksud yang lebih kurang sama juga dinyatakan dalam kitabnya al-Tafsir al-wasit (Tantawi 1985, 21:115).

Menurut Dr. Yusof al-Qaradawi antara lain beliau berkata yang bermaksud: Kewajipna memakai hijab ke atas wanita muslimah adalah perkara yang disepakati semua mazhab dan aliran Islam, Sunnah, Shi’ah, Zaydiyyah dan Abadiyyah (http://www.qaradawi.net/site/topics/article…)

Kata Dr. Ali Jum’ah, mufti Mesir bermaksud: Bahawasanya memakai hijab bagi wanita Islam adalah perintah yang dinaskan dalam al-Qur’an. (http://www.aljazeera.net/news/arabic/203/12/12-31-16.htm)

Dari dua ayat al-Qur’an yang dipaparkan, hadith-hadith Rasulullah, juga pandangan-pandangan ulama dahulu dan sekarang, jelas menunjukkan bahawa menutup rambut kepala atau dengan lain perkataan memakai tudung itu wajib bagi perempuan merdeka iaitu wanita Islam kini, di hadapan lelaki yang bukan mahramnya.

No comments: