Saturday, January 19, 2008

Hari Asyura 10 Muharam 1429

Masa zaman aku masih dibangku sekolah dulu, biasanya pada hari Asyura dibuat bubur 'suura'. Kadang-kadang aku terlibat sama dalam kerja seperti koyak nyior, mengacau bubur suura dsbnya. Kandungan bubur ni biasanya nasi, ubi, santan, daging dan rempah ratus. Yang seronoknya masa nasi dah jadi lembut, masih warna putih lagi kita dah ceduk makan dalam tempurung kelapa. Tempurung jadi mangkuk dan pelepah jadi sudu atau sodek. Bila bubur dah bertukar jadi hitam kita dah kekenyangan dan tak lalu lagi nak makan. Tapi besuknya bila dah sejuk kita makan lagi.

Berikut beberapa hadis Muslim yang dipetik dari http://www.al-islam.com/mal/ tentang puasa hari Asyura,
Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a:
Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Yazid r.a katanya: Al-Asy'as bin Qais datang menemui Abdullah ketika beliau sedang makan. Abdullah berkata: Wahai Abu Muhammad marilah kita makan bersama. Dia menjawab: Bukankah hari ini adalah hari Asyura? Beliau kemudian bertanya: Kamu tahu apakah hari Asyura itu? Dia menjawab: Apakah ia? Beliau menjelaskan: Ianya merupakan hari di mana Rasulullah s.a.w berpuasa sebelum puasa bulan Ramadan diwajibkan. Setelah puasa bulan Ramadan diwajibkan, ia ditinggalkan
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 1905

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Kaum Quraisy di zaman jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah s.a.w juga berpuasa pada hari itu. Setelah berhijrah ke Madinah, baginda tetap berpuasa dan memerintahkan para sahabat supaya berpuasa pada hari itu. Setelah difardukan puasa bulan Ramadan, baginda bersabda: Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari itu berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan meninggalnya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 1897

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa mereka itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami pada-Nya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu dan Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 1910

Hadis Abdullah bin Umar r.a:
Orang-orang jahiliah berpuasa pada hari Asyura. Rasulullah s.a.w dan orang-orang Islam sebelum diwajibkan berpuasa bulan Ramadan juga berpuasa pada hari tersebut. Setelah puasa Ramadan diwajibkan, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Asyura itu adalah hari-hari Allah. Sesiapa yang ingin berpuasa, berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan berbuka
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 1901

No comments: